zikrullah n doa

Thursday 23 June 2011

Adab Memberi Nasihat

Pengertian Nasihat

Agama Islam adalah agama Allah, dan agama menurut Rasulullah SAW adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya. Dalam Bahasa Arab, nasihat bermaksud yang dinasihati akan mendapat faedah daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa erti bahawa yang menasihati hendaklah menggunakan perkataan yang terbaik dan ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.

Adab-adab Memberi Nasihat

  1. Meluruskan niat sebelum menasihati seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas menasihati saudara semuslim semata-mata kerana Allah. Seharusnya seorang yang ingin memberi nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk niat yang terpesong kerana ia akan memberi kesan ke atas nasihat yang ingin diberikan. Janganlah menasihati seseorang itu kerana ingin menunjukkan kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana ingin mengajak sahabat ke jalan yang benar.

  1. Menjaga ukhuwah semasa menasihati. Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak diketahui orang lain. Sebahagian ulama berkata, “barangsiapa yang menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang yang dinasihati.” Islam mengajar umatnya supaya mempunyai akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat perkara ini. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah orang yang dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara nasihat.

  1. Bersih hati semasa menasihati. Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk perkara-perkara yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan perkataan yang sangat teruk untuk meluahkan nasihat kita. Dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang berbentuk nasihat, kita lbih gemar untuk menyatakan kesalahan orang lain seolah-olah mereka yang melakukan perkara-perkara tersebut  sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk bertaubat. Seharusnya selaku seorang pendakwah, nasihat adalah senjata utama yang perlu digunakan sebaiknya.

  1. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara. Seboleh-bolehnya mengenali dahulu saudara yang bakal kita nasihati. Nasihatilah mereka dengan penuh kasih sayang dan jadilah sebahagian dari mereka, kerana dari situlah kita akan ketahui punca mereka melakukan sesuatu kesalahan.

  1. memberi waktu dan kesempatan kepada saudara yang dinasihati untuk berubah. Perubahan secara drastik adalah sesuatu yang sukar, janganlah terlalu memaksa untuk suatu perubahan yang mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang pendakwah. Dalam berdakwah sifat sabar dan berserah kepada Allah perlu ada. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan jangan mudah berputus asa di atas nasihat yang diberikan kerana mungkin ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran.

Daripada Abu Ruqaiyyah ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah brsabda: “Agama itu adalah nasihat.” Kami brkata: “untuk siapa?” Baginda Rasulullah bersabda: “Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para Imam kaum muslimin dan untuk umat Islam seluruhnya.” (Hadis Riwayat al-Imam Muslim)

No comments:

Post a Comment